Memaparkan catatan dengan label Bisikan Qalbu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bisikan Qalbu. Papar semua catatan

Selasa, 8 Mac 2011

DISIPLIN PELAJAR PERLU DIBENDUNG SEGERA.....

Kajian yang memaparkan betapa sejumlah satu pertiga daripada sekolah-sekolah harian di negara ini terdedah kepada bahaya kegiatan samseng atau pun gengsterisme bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Ibarat api dalam sekam, jika dibiarkan marak tanpa kawalan sudah tentu bakal mengundang padah yang lebih buruk lagi.

Walaupun Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Abdul Shukor Abdullah mengatakan bahawa gejala ini masih terkawal dan tidak membimbangkan, namun di satu sudut janganlah pula kita mengambil sikap menunggu sehingga keadaan sudah menjadi serius baru tindakan mahu diambil kerana dikhuatiri bila sampai ke peringkat itu kelak, segala-galanya mungkin sudah terlambat.


Sikap setengah ibu bapa yang lebih mementingkan materialistik dan kurang memberikan tumpuan dan perhatian kepada anak-anak mereka di rumah sudah acap kali diperkatakan sebagai salah satu punca kepada masalah disiplin pelajar dan bukan lagi suatu isu yang baru.

Setiap kali masalah yang membabitkan pelajar timbul, golongan ibu bapa pasti menjadi sasaran. Namun itulah hakikat yang harus diterima oleh ibu bapa di zaman moden ini.

Tidak dapat tidak mereka perlu akur dengan kenyataan bahawa pembentukan akhlak serta moral yang baik perlu disemai dan dipupuk dari rumah lagi.
Malangnya melihat senario masa kini, ibu bapa nampaknya lebih leka dengan pembangunan ekonomi sehingga melupakan soal pembangunan insan yang bertunjangkan agama dan menitikberatkan nilai-nilai murni.

Soal memberi didikan agama dan rohani kepada anak-anak semakin diabaikan oleh ibu bapa di zaman moden ini. Tidak dapat dinafikan mana-mana agama pun sentiasa menitikberatkan penerapan nilai-nilai murni yang rata-rata menghendaki penganutnya menjadi baik - soalnya adakah ibu bapa mengambil berat tentang perkara ini?


Masalah disiplin yang lebih menjurus di kawasan bandar memberi gambaran kepada kita bahawa institusi keluarganya telah semakin rapuh di mana ibu bapa mereka lebih sibuk dengan urusan mencari kemewahan dunia dan tidak mempunyai masa langsung untuk bermesra  dengan anak-anak.

Anak -anak selalunya akan dibiarkan tinggal bersendirian di rumah tanpa pengawasan dan peluang yang ada ini selalunya akan mereka gunakan untuk memenuhi gelodak dan runtunan nafsu remaja mereka seperti menonton filem-filem lucah dengan rakan-rakan sebaya mereka. Oleh itu, tidaklah menghairankan kita di peringkat usia muda begitu sudah ada pelajar yang terjebak dalam perlakuan seks seperti bersekedudukan dan merogol. Jangan terperanjat kalau dalam beg anak-anak kita kini terdapat kondom selain daripada buku-buku sekolah mereka!

Dalam keadaan sekarang yang dipengaruhi oleh Internet, peranan ibu bapa sudah tentunya lebih berat lagi kerana anak-anak kini sudah mula berjinak dengan internet dan banyak menghabiskan masa di cybercafe dan mempunyai peluang yang seluas-luasnya untuk melayari laman-laman yang tidak sepatutnya mereka layari.

Pendeknya anak-anak remaja sekarang kian terdedah dengan pelbagai bahan negatif yang berunsurkan seks yang boleh merosakkan minda mereka dan sekali gus menjerumuskan mereka ke dalam perlakuan-perlakuan yang tidak sihat.

Tidak mustahil, gejala ini akan menular di kalangan pelajar sekolah sekiranya ibu bapa tidak mengambil langkah berjaga-jaga dari sekarang bagi mengawal anak mereka dari terjebak sama. Saluran yang begitu popular dikalangan pengguna internet khususnya golongan pelajar yang masih muda remaja kadangkala di jadikan medan untuk mereka menghamburkan perkataan-perkataan yang berunsur lucah yang akhirnya membawa kepada perlakuan-perlakuan seks yang tidak diingini.

Tidak kurang pentingnya juga, kita mengharapkan ibu bapa akan lebih bersikap terbuka dalam menangani masalah disiplin di kalangan anak mereka. Kita dapati ada ibu bapa yang secara melulu cuba menyalahkan pihak sekolah ataupun guru sekiranya anak-anak mereka dikenakan tindakan disiplin. Ada kalangan ibu bapa yang cepat melenting dan cuba mengheret guru ke mahkamah sekiranya tindakan disiplin diambil terhadap anak mereka.

Apa yang penting sekarang semua pihak perlu berganding bahu melaksanakan segala bentuk tindakan yang telah dirangka sebelum segala-galanya menjadi parah.

Isnin, 7 Mac 2011

1 MALAYSIA BERMULA DARI RUMAH

MALAYSIA, sebagai sebuah negara yang memiliki masyarakat berbilang kaum, agama dan bangsa telah lama menjadi contoh terbaik di pentas dunia dalam mengamalkan hidup bermasyarakat yang bertoleransi, saling menghormati dan memahami antara satu kaum dengan kaum lain.

Apa yang negara kita nikmati sekarang amat jauh berbeza dengan negara-negara lain yang mempunyai penduduk berbilang kaum tetapi rakyatnya tidak pernah hidup aman lantaran perbezaan tersebut.

Malah, ada negara yang memiliki penduduk daripada satu kaum sahaja tetapi masih gagal mengekalkan keamanan yang diingini kerana perpaduan rakyatnya yang rapuh.

Justeru, keunikan negara kita yang mempunyai penduduk pelbagai kaum yang dapat hidup dalam keadaan aman damai sentiasa menjadi perbualan masyarakat dunia. Itulah yang kita banggakan selama ini, tetapi soalnya apakah keadaan itu dapat dikekalkan?

Jawapan yang pasti adalah ia boleh dikekalkan dengan syarat setiap rakyat terutama pemimpin politik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan, pemimpin kumpulan yang ditubuhkan berasaskan kaum saling bekerjasama erat dengan kerajaan dalam memastikan keamanan dan perpaduan yang dikecapi hari ini dapat kekal selamanya.

Usaha mengukuhkan perpaduan perlu bermula di rumah dan sekolah rendah. Ini kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya, selain kanak-kanak itu diibaratkan seperti sehelai kain putih yang mana segala corak pada kain itu ditentukan oleh ibu bapa, penjaga dan guru-guru di sekolah.

Tidak kira sama ada anak-anak itu mengikuti persekolahan aliran kebangsaan, Cina, Tamil, Inggeris atau sekolah antarabangsa, tugas memperkukuhkan perpaduan terletak pada bahu ibu bapa dan guru.

Merekalah yang bertanggungjawab sepenuhnya membentuk sikap anak- anak agar saling menerima perbezaan dan akhirnya membesar sebagai rakyat yang sanggup bertolak ansur, bertoleransi dan menghormati perasaan antara satu kaum dan kaum lain.

Memang diakui sukar untuk memuaskan hati semua kaum lantaran ledakan teknologi maklumat dan jaringan yang hebat sekarang, sehinggakan ada dalam kita lebih mempercayai apa yang ditulis blogger. Tetapi jika jiwa setiap rakyat sudah terdidik supaya menerima perbezaan yang ada, maka apa saja yang dipaparkan akan dianggap sebagai bahan bacaan ringan sahaja.

Dalam pada itu, kita sedih kerana perpaduan erat yang telah lama dijalin mahu dirosakkan oleh tindakan segelintir kumpulan kaum yang ekstrem.

Berlakulah demonstrasi haram, tetapi kita bernasib baik kerana anggota polis bertindak pantas membendung gejala yang tidak diingini itu daripada merebak menguasai kota raya, bandar raya dan setiap ceruk pekan dan desa.

Maka dengan itu, marilah kita saling bekerjasama mengukuhkan perpaduan, bertindak reaktif, proaktif dan ikhlas menerima perbezaan di antara kaum.

Khamis, 30 September 2010

REDHA....

Hati mana
........tak luntur
........tak bergegar
Dentuman langit menggamitkan
Hempasan ombak meruntun jiwa
Ujian datang menduga keimanan.

Masa berdetik terlalu pantas
Ku panjatkan doa
Di setiap penjuru masa
Menginsafi keterlanjuran redha kepadaNYA

Kegelapan malam disinari bulan
Berkelip-kelip bintang di atas awan
Memberi cahaya petunjuk jalan
Membantu insan yang memerlukan
Hidup ini perlu diteruskan
Bersama semangat dan keimanan

Selasa, 28 September 2010

TERIMA KASIH......ISTERIKU

 Sungguh mulia tempatmu
Terlalu istimewa sifatmu
Tak ternilai kudratmu
Meski masih bisa tertawa
Di kala saat2 duka
Masih cekal hati mu
Di kala sengsara
Gahnya air mata itu
Di sebalik keindahan alis matamu
 Itulah kelemahanmu
Namun percayalah
Banyak hikmah mendampingi mu.

Pengorbananmu diuji dan dinilai
Ketabahanmu kerap kali digegarkan
Keresahanmu disembunyikan
Permataku tidak dilupakan
Sentiasa doa kesejahteraan
Buat insan yang tersayang
Namun percayalah
Allah itu Maha Adil lagi Bijaksana
Ada hikmah disebaliknya

...ah tulang kekuatanmu jua
Yg bisa runtuhkan ego Adam
Yg bisa runtunkan jiwa Adam
Senyumlah wahai Intan ku
Ukirlah seikhlas wajahmu
Sucikanlah ruang hatimu
Kerna ku jua tau
Tulus budimu Semulus kasihmu.....

Terima kasih.... Isteri ku...
'JOM BACA LAGI ENTRI INI' Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...