Rabu, 27 Oktober 2010

BISA IKAN KELI

Assalamualaikum.

Hari ini rasanya Kesuma Jiwa nak bercakap pasal ikan keli. Kesuma Jiwa memang suka sangat dengan masakan ikan keli. Sejak kecil hingga dewasa menu mingguan mesti ada masakan ikan keli. Namun semenjak 2 tahun lepas Kesuma Jiwa terpaksa melupakan makanan kegemaran ini kerana mendatangkan bias-bisa dalam badan.

Pengalaman sewaktu kesuma Jiwa masih muda :

Selepas puas mandi sungai, kerap juga Kesuma Jiwa dan rakan-rakan pergi pula memancing ikan. Antara ikan yang kerap Kesuma Jiwa dapat ialah keli, haruan, lampam, sebarau, baung, temperas, puyu dan berbagai ikan lagi. Bila tiba musim panas di mana air sungai menjadi sedikit dan banyak lopak air di paya terhasil, KJ dan rakan-rakan mencari pula akar tuba untuk menuba ikan, berkilo-kilo ikan dibawa pulang ke rumah.

Khamis, 21 Oktober 2010

TAZKIRAH - Adab Untuk Kanak-kanak


Hubungan silaturahim antara seseorang individu dengan orang lain mengeratkan persaudaraan sesama agama. Syariat menentukan bahawa adab-adab sosial ini perlu ditanam dan disemai di peringkat kanak-kanak lagi.agar kesebatian hubungan silaturahim berakar umbi di hati mereka.

Adab Terhadap Ibu Bapa

Pengorbanan ibu bapa melahirkan, mengasuh, membimbing, dan membesarkan anak-anak tidak boleh dipertikaikan lagi. Tiada ganjaran wang ringgit dan harta benda yang dapat membalas jasa mereka.

Justeru, sebagai menghormati ibu bapa dan orang lain yan ada kaitan dengan mereka seperti datuk, nenek dan saudara mara, maka kita dianjurkan sentiasa menyumbangkan bantuan kepada mereka.

Didikan Awal Ibu Bapa Kepada Anak-Anak

  • Anak-anak dianjurkan semenjak dari kecil lagi mencium tangan ibu bapa dan orang tua setiap kali bertemu.
  • Bertutur di hadapan mereka dengan tutur kata yang lemah lembut dan penuh rasa hormat.
  • Sering merujuk dan meminta nasihat ibu bapa dalam menangani masalah kehidupan hari ini.
  • Ajarlah kepada mereka sentiasa menziarahi ibu bapa atau jiran tetangga terutamanya ketika mereka uzur dan sebagainya.

Adab Terhadap Guru

Para ibu bapa juga diingatkan supaya mendidik anak-anak dari kecil lagi untuk menghormati guru dalam menunaikan haknya.

Guru-guru yang menabur jasa memberi ilmu pengetahuan, tunjuk ajar dan bimbingan terhadap anak muridnya memang sepatutnya dihormati. Lebih-lebih lagi guru agama dan alim ulama yang mengajar dan membimbing dalam soal-soal akidah, hukum hakam agama, ibadah dan yang berkaitan dengan akhrat.

Nabi SAW bersabda yang diriwayatkan oleh al-Tabrani daripada Abu Hurairah r.a yang maksudnya;


Pelajarilah ilmu, pelajari ketenangan dan kesopanan dan rendahkan diri mu terhadap orang yang kamu ambil ilmunya ( guru ).
Adap dengan Rakan, Jiran dan Tetamu

  • Memilih sahabat atau teman yang baik akhlak dan budi pekertinya.
  • Memberi salam dan menjawab salam apabila berjumpa.
  • Memenuhi undangannya jika dijemput.
  • Menziarahinya ketika sakit
  • Memberi bantuan ketika dalam kesusahan.
  • Tidak sesekali menyakitkan hatinya
  • Berilah layanan yang sewajarnya kepada tetamu yang datang ke rumah kita.
Firman Allah SWT, dalam Surah al-Nisa' ayat 36 maksudnya;


Dan berbuat baiklah kepada kedua-dua ibu bapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin, tetangga dekat dan jauh, teman sejawat dan orang yang berjihad.
Melalui kenyataan di atas, dapat kita lihat betapa pentingnya peranan ibu bapa dalam mendidik kanak-kanak. Anak-anak yang mendapat didikan ini, akan memiliki kesihatan jasmani, kemuliaan akhlak dan berperwatakan yang disukai ramai.

Semoga kita sama-sama beroleh keberkatan kehidupan di dunia dan di akhirat.

Ya Allah, berikan kami kebahagian di dunia dan berikan juga kepada kami kebahagiaan di akhirat, jauhkanlah kami daripada azab api neraka Mu.....Amin.

Selasa, 19 Oktober 2010

HOMESTAY SUNGAI HJ DORANI

Di pagi hari ....... bertolak "Homestay - Kembara Ilmu"

 "Bismilah hi rahman nir rahim, Allhamdulillah hil lazi ahya na ba' da amatina wa ilahi nusyur.....Amin".

Mata ku tertumpu pada jam di dinding, "Baru 4.30 pagi," detik hati ku. "Ahamdulillah , sempat rasanya solat Tahajjud ni," kata ku sambil menyemburkan air ke anggota badan mengambil wuduk.

Doa dibaca, zikir dilafazkan..... "Along...along....along, bangun dah 5.30 pagi ni. Pergi mandi, jap lagi masuk waktu Subuh.""Nanti tak sempat sarapan pulak.....cepat."gesa ku. Umi dah bangun ketika aku solat Tahajjud tadi. Bunyi geseran pinggan mangkuk memecah kesunyian pagi. "Kemas pinggan lah tu, apa menu pagi ni rasanya? tertanya-tanya hati ku.

"Ayah, dah azan Subuh ke?" terhenti lamunan ku seketika. "Rasanya, dah masuk waktu ni, dah 5.45 pagi. Sembahyang dulu....ayah nak ambil wuduk," terkapai-kapai aku nak mengambil penyembur air. "Bersendirian anak ku bersolat....biasanya along akan bersolat dengan uminya.....tapi dah seminggu uzur nak buat macam mana. Dah fitrah orang perempuan." bisik hati ku.

"Allah Hu Akbar".......

'Barang-barang semua dah siap ,ke......along?" tanya umi sambil membawa mee kari dan air susu. kepada ku. "Dah, umi ...........malam tadi sampai pukul 12.30 malam. Nasib baik ayah temankan."sambil meletakkan beg di tepi pintu. Along terus mengerakkan adik-adiknya bangun. Berebut-rebut lah nak masuk bilik air, akhirnya si bongsu mengaku kalah. "Alhamdulillah, sedap menu abang pagi ni.......terima kasih, umi," puji ku seraya tersenyum melihat gelagat anak bongsu ku mengeliat di atas toto.

"Pergi sarapan dulu, umi dah siapkan atas meja tu. Ajak angah makan sekali." "Dah sudah  makan.....letak pinggan dalam sinki. Along tolong umi....cuci pinggan tu." sambung umi sambil mengemas tempat tidur. "Baik, umi......"





"Assalamualaikum,.....assalamualaikum....." sayup-sayup kedengaran orang memberi salam di luar pintu pagar ku. "Waalaikumsalam," "Along, cikgu dah sampai tu......cepat," desak ku. "Jaga diri di tempat orang, jangan lupa sembahyang," pesan umi sambil menghulurkan tangan bersalaman dengan along. Tangan dan pipiku dikucup "Ingat , apa ayah pesan semalam?"......"Ingat, ayah........ ," along bersalaman dengan adik-adiknya pula.



Aku membelek-belek handphone, "Dah 6.45 pagi," bisik hati ku. "Ya Allah,....selamatkan perjalanan anak ku pergi dan balik.......Amin." terus ku sapukan tangan ke muka ku.

Sabtu, 16 Oktober 2010

MANA MILIK KITA

Assalamualaikum w.b.t

Segala puji-pujian dan pengabdian hanya untuk Allah s.w.t., Tuhan yang mentadbir dan mencipta alam semesta. Selawat dan salam kepada Rasulullah s.a.w., para sahabat serta pendokong perjuangan Islam hingga akhir zaman.

Sesungguhnya hidup ini penuh dengan onak dan duri. Allah s.w.t. menurunkan ujian kepada hamba-Nya tidak kira tua atau muda, miskin atau kaya, tinggi atau rendah. Lazimnya, kita menganggap ujian Allah berbentuk musibah, tetapi seringkali kita terlalai apabila Allah menurunkan ujian berbentuk kesenangan yang membuatkan kita berasa sungguh selesa. Tanpa kita sedari, kesenangan dan kemewahan itu juga merupakan dugaan daripada Allah s.w.t. menguji tahap keimanan hamba-Nya dan sekadar hendak menguji adakah hamba-Nya bersyukur atau tidak dengan nikmat Allah yang melimpah-ruah.

Selama seminggu Kesuma Jiwa tak dapat menatap laman sesawang ini. Hampir seminggu juga Kesuma Jiwa terpaksa menggunakan gas oksigen untuk melancarkan pernafasan. pada waktu malam. Keadaan pernafasan KJ yang selalu terganggu tetapi tidaklah serius memerlukan oksigen yang mencukupi . Inlah dugaan Allah s.w.t. 

Sesungguhnya Allah Maha Adil, Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Bagi umat Islam yang beriman dengan Qadak dan Qadar, ujian yang diberikan bukan tanda Allah benci tetapi merupakan tanda kasih sayang Allah. Sebenarnya Allah mahu kita sentiasa beringat-ingat. Agar dengan itu, kita sebagai hamba akan datang untuk mengadu, mengharap, merintih belas ihsan dan sentiasa merasakan hanya Allah tempat meminta segala-galanya.

Walaupun KJ menggunakan gas oksigen yang dibeli selepas keluar hospital, namun ia milik Allah. Sedar kah kita semua yang ada di alam ini juga adalah milik Allah s.w.t .Hati KJ juga sering kali mengingati kata-kata pujangga ini sebagai  penguat semangat Kesuma Jiwa meneruskan kehidupan, minda ini tetap bersyukur kerana masih berada di muka bumi.

Wahai teman-teman, insan yang senasib dengan Kesuma Jiwa......renung...renungkanlah.. ..

"JANGAN BERSEDIH ATAS NIKMAT YANG HILANG DARIMU, SESUNGGUHNYA NIKMAT YANG ENGKAU MEMILIKI MASIH BANYAK"

“TIADA APA PADA DIRIKU MELAINKAN KEKURANGAN DAN KEKELIRUAN. HANYA ALLAH SWT MEMILIKI SEGALA-GALANYA DI ALAM INI. REBUTLAH LIMA PERKARA SEBELUM DATANGNYA LIMA PERKARA: SIHAT SEBELUM SAKIT, MUDA SEBELUM TUA, KAYA SEBELUM MISKIN, LAPANG SEBELUM SEMPIT DAN HIDUP SEBELUM MATI”.

Lagu dendangan Allahyarham Ustaz Asri, dan Kumpulan Rabbani ketikamembuat persembahan di tempat Kesuma Jiwa bertugas juga masih meresap ke dalam jiwa ini, "MANA MILIK KITA". Kenapa harus bersedih kita hanya insan biasa, kita diciptakan oleh Nya. Maka kita kena redha Qadak dan Qadar Nya.
Marilah teman-teman seperjuangan sesama islam. ....bersyukurlah......bersyukurlah.......Alhamdulillah.....

Setiap saat dan detik kita sangat memerlukan Nya sama ada kita sedari atau tidak.

Jadikan Al-Quran dan As-sunnah pegangan kita, buatlah apa yang di suruh dan tinggalkan apa yang dilarang oleh Nya.

ALHAMDULILLAH HI ROBBAL A'LAMIN

RABBANI: MANA MILIK KITA

Rabu, 13 Oktober 2010

SATU PERTEMUAN @ 10.10.10


Setiap manusia sentiasa menanti kehadiran tarikh 10. 10. 10
(10 Oktober 2010), mudah-mudahan semua yang baik-baik akan berlaku insyaallah.

Kesuma Jiwa juga tidak akan mensia-siakan tarikh itu. Bagi Kesuma Jiwa peristiwa yang berlaku akan diabadikan selama-lama dalam sanubari ini.


Pada tarikh tersebut Kesuma Jiwa menerima Kunjungan Mesra Student SMAT 1972 di Istana Idaman Bandar Tasik Kesuma. Bayangkan teman persekolahan yang hampir 20 tahun tidak berjumpa dipertemukan semula. Tapi dalam suasana yang berbeza.

Sukar nak dibayangkan rasa kegembiraan KJ, hanya sebak di dada dan genangan air mata kegembiraan yang terpancar di wajah KJ. Sekali imbasan ada wajah-wajah yang masih tak berubah seperti dulu juga.


Terima kasih teman-teman yang hadir dan semua student SMAT 1972 serta yang mengenali insan ini.


Norizan Rais, Hamidi Shaari, Rasman Rahim, Mohd Khair Arbaeen, Fadil Arshad, Zamri Samsuri, Jailani Wagiman, Hawari Abdullah, Nazaruddin Bahrin, Mohd Zaki Abd Mutalib, Shamsuddin Mahmood, Hamim Zailan, Hamidah Othman, Rozilawati Rabu, Fauziah Sariti, Radhiah Idris, Anita Idris, Zamdilaila Saim, Roslina Aziz, Norazimah Ahmad, Erma Karmila, Suraini Hassan, Rohizan Mohamad serta family.


Salam dihulur berjabat mesra,
Merenung wajah teman persekolahan,
Gembira sanubari tidak terkata,
Akhirnya dapat juga dipertemukan.

Marhaban dan doa dimulakan,
Tanda kesyukuran tidak terhingga,
Linangan air mata tak dapat ditahan,
Mengenang nasib Kesuma Jiwa.


Terima kasih wahai teman,
Kerjasama keprihatinan yang diberikan,
Jasa budi mu kan ku abadikan,
Semoga Allah memberi kerahmatan.


Layanan diberikan mungkin mengecewakan,
Juadah terhidang jemu memandang,
Ampun maaf Kesuma Jiwa hulurkan,
Itulah yang termampu kami berikan.


Terima kasih teman....... semua sekali ,
Sudi mengunjungi Kesuma Jiwa,
Berat hati ingin berpisah kembali,
Entah bila kita kan bersua semula.


Ku abadikan kunjungan mesra,
Student SMAT 1...9...7...2,
Lihatlah laman blog Kesuma Jiwa,
Walaupun jauh tetapi dekat di mata.

 



Satu Pertemuan

Tersingkap tabir di bibir langit
Ketika hati digamit kenangan
Tentang pertemuan

Pertemuan ini tidak pernah dinantikan
Pertemuan ini tidak pernah dijangkakan
Sejambak keharmonian
Sejambak ketabahan
Sejambak kegemilangan
Mewarnai pertemuan ini

Siapa bilang pertemuan ini bisa ampuh
Siapa bilang pertemuan ini jadi goyah
Justeru keakraban
Menyala dalam mata
Menyala dalam jiwa
Menyala dalam hati
Membiak di segenap ruang
Dalam alunan serunai persahabatan
























Sabtu, 9 Oktober 2010

Sekadar Renungan...RAYA @ DUIT RAYA

Selamat tinggal Aidilfitri, semoga berjumpa di tahun hadapan 1432 H.

Habis raya ni paling seronok ialah kanak-kanak. Setiap hari ingin menghitung jumlah pemberian duit raya dan ada pula yang merancang sesuatu dengan duit raya. Buat adik-adik rancanglah dengan bijak minta bantuan ibu bapa atau penjaga untuk mendapatkan nasihat.
Apa yang  Kesuma Jiwa nak beritahu ialah amalan kunjung mengunjungi dan duit raya. Kalau zaman KJ dahulu di tahun 70-an dan 80-an. Amalan kunjung mengunjung sudah menjadi satu kemestian.

Terasa ruginya bila tidak dapat bersama. ia diselitkan dengan bertakbir @ Marhaban serta dapat pelbagai hidangan Hari Raya. Kalau dimurahkan rezeki dapatlah duit raya daripada Tuan Rumah. Paling menyeronokkan bila kita satu family berjalan bersama-sama mengunjungi sanak saudara dan jiran tetangga. Kemeriahan dan rasa selamat tetap terasa ketika Aidilfitri.



Amalan kunjung mengunjung dan pemberian duit raya telah berubah mengikut zaman. Sekarang terdapat masyarakat yang suka memerap di rumah dengan menonton siaran rancangan menarik daripada mengunjungi rumah jiran tetangga dan sanak saudara.

Jumaat, 8 Oktober 2010

SEGENGGAM KETABAHAN

INTEAM: SEGENGGAM TABAH

“Malam adalah masa untuk bersedih..” Tulisan ini membuatkan KJ terfikir.

Adakah seharian kita harus melalui bersama perasaan sedih berpanjangan? Apakah takdir ini terbeban ke atas kita sepanjang masa?

KJ yakin, setiap insan di dunia ini pasti pernah merasainya. Kita sedih kerana diperlakukan sesuatu tanpa kerelaan, ditengking, dimarahi, diejek dan dikeji, dihinakan, atau mendapat sesuatu musibah tak dijangka misalnya kematian, kesusahan, kegagalan hidup,  sukar mendapat jodoh, kesakitan serta pelbagai rona-rona rasa yang lainnya. Semangat terus lumpuh ke tahap terkebawah.

Ketika saat itu juga, hati kita menjadi rawan berpanjangan, emosi meruntun hiba, sedih bersangatan. Lalu termenung sendiri sambil menyeka air mata yang berjujuran. Air yang dihirup tidak lagi dirasa lazat, tetapi umpama duri-duri yang bercerucuk di kerongkongan. Diri lantas dipersalahkan, bahkan rasa sesal menjadi manusia bermain-main di kotak minda.
Sedangkan Allah SWT telah berfirman:
“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?”
“Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta.” (Al-Ankabut: 2-3)
Bagi yang tidak kuat pegangan agamanya, lemah imannya, maka jalan terakhir ialah dengan cara bunuh diri. Nauzubillahhi minzalik. Pada hematnya, cara ini mampu mengurangkan tekanan yang dialami.

Tidak! Kenyataan ini tidak benar sama sekali. Bukan caranya kita bersedih lalu berusaha menjauh diri dari Ilahi atau menempah pintu-pintu neraka.

RAIHAN DAN YASSIN : I'TIRAF
ADA PENAWARNYA
Setiap penyakit ada penawarnya, kecuali bila ajal mula mendekati – tiada penawar lagi. Justeru, indahnya Islam kerana di sana letaknya tegahan tetapi ada suruhan (bimbingan), adanya penyakit turut bersamanya penawar.

Kerana itu sahabat Baginda apabila merasa runsing dan bersedih hati, mereka langsung mendapatkan motivasi dari Rasulullah SAW agar pencerahan kembara Ilahi jelas tanpa was-was. Mereka segera kembali kepada jalan al-Quran dan Sunnah bukan mengikut telunjuk hati yang rawan ataupun syaitan yang membisikkan kenistaan.
Ayuh! Usahlah terus bersedih, bangkitlah.. jangan jadi orang ‘kalah’ lagi. Hamparkan sejadah, lalu bertawajuh dan menadahkan tangan memohon bantuan dari-Nya. Engkau tidak keseorangan.

Di bawah ini KJ selitkan doa merawat kesedihan, marilah kita cuba baca dan amalkan.
Terdapat di dalam musnad Imam Ahmad dan sohih Ibnu Hibban, daripada  Abdullah Ibnu Mas’ud r.a bahawasanya Nabi Muhammad SAW telah bersabda:
Tambah kapsyen
“Tidaklah sama sekali berkata mana-mana hamba apabila dia dilanda kebimbangan (tentang perkara akan datang) atau kesedihan (merujuk perkara yang telah berlalu); (dengan cara berdoa sebagaimana berikut):

Maksud doa: “Ya Allah! Sesungguhnya aku hamba-Mu, juga anak hamba lelaki-Mu (ayahku) dan anak hamba perempuan-Mu (ibuku). Dahiku berada di tangan-Mu (Engkau bebas mengawal dan menentukan arahnya; kebaikan atau keburukan yang ditujunya). Sudah berlalu pada diriku keputusan-Mu. Sememangnya adil buat diriku (apa jua) ketentuan-Mu.

(Justeru), aku memohon kepada-Mu dengan semua nama yang selayaknya buat-Mu; yang Engkau namakan dengannya diri-Mu, atau yang Engkau turunkannya dalam kitab-Mu, atau yang Engkau ajarkannya kepada salah seorang daripada makhluk-Mu (Nabi Muhammad SAW) atau yang Engkau (sengaja) sembunyikan tentangnya di alam ghaib di sisi-Mu..

Supaya Engkau jadikan al-Quran sebagai musim bunga (berasa tenteram dalam) hatiku, cahaya di dadaku, keluar daripada (belenggu) kesedihan, dan penghilang kebimbanganku.”

Sambungan hadis Baginda SAW:
“Melainkan pasti Allah Yang Maha Perkasa lagi Maha Agung menghilangkan kebimbangannya dan menggantikan buatnya tempat kesedihan tersebut dengan kegembiraan.”
Mereka (para sahabat r.a) berkata: “Wahai Rasulullah! Semestinya ke atas kami mempelajari bilah-bilah kata ini.”
Nabi menegaskan: “Benar! (Bukan setakat kamu; bahkan) semestinya kepada sesiapa sahaja yang mendengarnya perlu mempelajarinya.”
Janganlah bersedih wahai jiwa, sekiranya engkau beriman kepada Allah SWT, percaya kepada ketentuan qada’ dan qadarnya – hikmah tersembunyi. Jangalah bersedih wahai jiwa yang tenang, kerana bersangatan sedih itu membuatkan dirimu dinodai Syaitan. Janganlah bersedih wahai jiwa yang lara, kerana bersama engkau ialah Tuhan Yang Maha Mendengar rintihan hamba-hambanya.

Ingatlah, Allah Yang Satu itulah yang mengobarkan kemenangan insan terdahulu, yang mengatur urusan manusia sebelum-sebelumnya. Malah ada urusan mereka lebih sulit dari kita. Selalulah bersyukur dan mengingati Allah SWT.
La tansa zikrullah.

Sahabatku, mari hilangkan airmata duka....... beriringan penawar tersedia!

rujukan: Ustaz Farid, Ustaz Zahazan , Buku La Tahzan
               Buku Motivasi Diri.

Khamis, 7 Oktober 2010

SALAM AKHIR SYAWAL 1431H


Assalamualaikum..........
Salam akhir Aidilfitri Walfa Ezzin,
28 Syawal 1431H

Seronok bila tiba Hari Raya ni, masing-masing sibuk membuat persiapan beli itu....beli ini......rancang kampung mana nak balik dulu dan macam-macam lagi, begitu juga dengan family Kesuma Jiwa.......... namun bagi diri KJ semua itu sama je tiada bezanya......

Walaupun sudah tiga tahun KJ tak dapat pulang berhari raya di kampung sama ada di Utara mahupun di Selatan......kami masih tetap beraya di rumah sendiri......bukan kerana merajuk atau membawa diri tetapi keadaan yang tidak mengizinkan.

Maafkan KJ ....Ayahanda dan Bonda serta keluarga kerana tak dapat pulang ke kampung......tapi percayalah......hati anakanda mana yang tidak merindui sanak saudaranya.....darah dagingnya.
Saat berkumandang takbir Hari Raya .......hati menjadi sayu, hiba dan sebagainya. Namun begitu isteri dan anak-anak sudah biasa serta memahami situasi ayahnya.......kami masih meraikannya.......... kasihan permataku. Mungkinkah diri ini masih wujud lagi di bulan Ramadhan dan Syawal tahun depan..........Waallah hu a'lam.

Kepada insan yang mengenali KJ.........
Keluarga KJ
Ahli keluarga KJ dan isteri
Saudara mara KJ
Jiran tetangga KJ di Fasa 1L Bandar Tasik Kesuma
Jiran tetangga KJ di Taman Melur, Ampang
Rakan facebook
Teman persekolahan di SKAT 1, SMAT, SM TUN HABAB
Anak-anak Gayong PSSGM di SMAT (88-90)
Ex student Institut Bahasa Kuala Lumpur 93-95
Guru-guru Sekolah Kebangsaan Taman Tasik
Guru-guru Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma
Ibu bapa kepada bekas anak murid
Ex guru-guru SKTT
Ex student SKTT
Ex student SKBTK
Murid-murid SKBTK
dan yang berhari raya di rumah KJ

Akhir bulan Syawal 1431H ini KJ ingin merakamkan ucapan terima kasih  buat semua yang masih mengingati KJ di Hari Raya Aidilfitri ....

Semoga kita dapat bersua kembali.di tahun depan........jika umur ini panjang.
Sebelum diri ini dijemput oleh Yang Maha Kuasa........Maaf kan diri KJ, jika terdapat kekhilafan diri ini.....KJ hanya insan biasa tak terlepas daripada melakukan dosa....jika terlanjur kata, tersasul lidah ketika berbicara sehingga menguris jiwa raga ampun maaf dipinta.
Halalkan apa jua yang termakan dan terminum

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI
MAAF ZAHIR DAN BATIN

Jumaat, 1 Oktober 2010

KEMO......OH........KEMO SAMBUNGAN

Assalamualaikum, buat para pembaca.....

KJ akan teruskan coretan pengalaman untuk kita kongsi bersama bukan untuk meraih simpati dan empati tetapi jadikan ia pengetahuan  diri jika berlaku kepada orang yang tersayang...

Sewaktu di bilik Unit Kecemasan....KJ hanya boleh mengecam raut wajah pengunjung yang datang melawat...mulut tak dapat berkata-kata hampir 2 minggu. Ubat yang masuk ke dalam badan terlalu banyak. Kedua-dua tangan KJ disuntik jarum bagi memudahkan ubat mengalir 24 jam ke dalam badan. Tanpa sokongan ubat KJ akan berpeluh satu badan dan berlaku kekejangan. KJ sentiasa diawasi 24 jam sehari oleh jururawat yang setia dan doktor yang prihatin. Percaya atau tidak........KJ diberitahu tidak tidur selama 4 hari....4 malam.

selepas KJ membuat rawatan kemoterapi

'JOM BACA LAGI ENTRI INI' Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...