Ahad, 6 Mac 2011

PILIHAN HATI PENGUNDI MERLIMAU DAN KERDAU......TAHNIAH


BN menang di DUN Merlimau dengan majoriti 3,643 undi. Calon BN, Roslan Ahmad mendapat 5,962 undi, manakala calon PAS, Yuhaizad Abdullah memperolehi 2,319 undi. Jumlah undi rosak diterima ialah 130 undi.


Majoriti itu lebih tinggi berbanding dengan 2,154 undi pada 2008. bagaimanapun, ia masih rendah berbanding dengan majoriti BN sebanyak 5,087 pada 2004.

Sementara itu bagi pilihan raya kecil DUN Kerdau, BN turut menang besar dengan majoriti 2,724 undi.

Calon BN, Syed Ibrahim Syed Ahmad memperolehi 5,060 undi, menewaskan calon PAS yang mendapat 2,336 undi. Jumlah undi rosak ialah 90.

Keputusan pilihan raya kecil itu diumumkan oleh pegawai pengurus pilihan raya, Datuk Tarif Abdul Rahman kira-kira 8.20 malam ini.

Majoriti kemenangan BN itu juga mengembalikan tahap sokongan yang dinikmatinya pada pilihan raya umum 2004 di mana parti itu mendapat majoriti sebanyak 2,565 undi.

Ia juga menunjukkan pertambahan hampir 70 peratus berbanding majoriti yang diperolehi BN sebanyak 1,615 undi pada 2008.

Keadaan ini menunjukkan sokongan pengundi telahpun kembali kepada BN di Kerdau.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengulas kemenangan BN di Merlimau dan Kerdau berkata, walaupun cemerlang, tetapi ia adalah satu pilihan raya kecil, dan tidak menggambarkan senario nasional.

Bagaimanapun, katanya, BN akan mengambil iktibar daripadanya untuk mengukuhkan usahanya, supaya apabila tiba pilihan raya umum nanti, mesej yang dibawa di situ, dapat difaham di seluruh negara.

Sementara itu, pilihan raya kecil DUN Kerdau turut mencatatkan 83 peratus atau 7,480 orang pemilih keluar mengundi selepas semua 13 pusat mengundi ditutup 5 petang tadi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata pihaknya sudah menjangkakan jumlah itu berdasarkan pencapaian pada pilihan raya umum 2008 lalu iaitu 80.3 peratus.

Menurutnya lagi, proses pengundian sejak pukul 8 pagi hingga 5 petang juga berjalan lancar walaupun terdapat beberapa insiden provokasi antara penyokong parti bertanding iaitu PAS dan BN.

"Di Sekolah Menengah Kebangsaan Kerdau tadi, keadaannya memang tegang dan panas tetapi pihak polis bertindak pantas mengawal keadaan supaya tidak berlarutan menjadi perkara tidak diingini," katanya kepada pemberita di Dewan Tun Razak, Majlis Perbandaran Temerloh.

Malaysiakini : 9.00 malam 06/03/2011

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'JOM BACA LAGI ENTRI INI' Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...