Jumaat, 1 Oktober 2010

KEMO......OH........KEMO SAMBUNGAN

Assalamualaikum, buat para pembaca.....

KJ akan teruskan coretan pengalaman untuk kita kongsi bersama bukan untuk meraih simpati dan empati tetapi jadikan ia pengetahuan  diri jika berlaku kepada orang yang tersayang...

Sewaktu di bilik Unit Kecemasan....KJ hanya boleh mengecam raut wajah pengunjung yang datang melawat...mulut tak dapat berkata-kata hampir 2 minggu. Ubat yang masuk ke dalam badan terlalu banyak. Kedua-dua tangan KJ disuntik jarum bagi memudahkan ubat mengalir 24 jam ke dalam badan. Tanpa sokongan ubat KJ akan berpeluh satu badan dan berlaku kekejangan. KJ sentiasa diawasi 24 jam sehari oleh jururawat yang setia dan doktor yang prihatin. Percaya atau tidak........KJ diberitahu tidak tidur selama 4 hari....4 malam.

selepas KJ membuat rawatan kemoterapi



Kunjungan sanak saudara, sahabat handai, rakan-rakan guru sentiasa memenuhi ruang bilik yang kecil itu. Rakan-rakan di Institut Bahasa yang sudah hampir 12 tahun tak berjumpa datang menziarahi dari Utara, Selatan dan Pantai Timur. Terima kasih semua......walaupun KJ tak boleh berkata-kata ketika itu tapi hati ini begitu gembira dan pilu.....yang hanya dapat kau lihat air mata seorang lelaki bergenang di mata akhirnya mengalir tanpa segan silu ke pipi. Tak mampu nak KJ hulurkan salam kepada semua hanya isyarat tangan dan anggukan kepala sahaja yang boleh dilakukan.

Selepas dipindahkan ke wad biasa, doktor mula merancang rawatan seterusnya. MRI - bagi mengesan keadaan tulang yang rosak. CT-Scan - mengesan keadaan tumor dalam badan dan kedudukan sel-sel kanser dalam badan. Paling sakit sekali apabila doktor melakukan Biopsy. Biopsy ni dilakukan dalam keadaan kita sedar hanya ubat bius digunakan. Biopsy bertujuan mengambil tisu dalam badan kita dengan menggunakan kamera. Allah saja yang tahu apabila  KJ menahan kesakitan. KJ mengambil keputusan tidak akan meneruskan rawatan kemoterapi dan radioterapi walaupun disyorkan oleh doktor bagi melengkapkan 6 cycle kemo. KJ tak sanggup untuk menghadapi kesengsaraan sekali lagi.

Hampir 2 bulan mendapat rawatan di hospital KJ dibenarkan pulang. Yang memilukan KJ ialah kaki KJ menjadi kebas dan tidak dapat digerakkan lagi. Mulalah kehidupan KJ hanya di atas katil dan kerusi roda sahaja. Urat-urat tangan KJ menjadi hitam kerana pengaruh ubat yang masuk ke salur darah.

Selama 2 tahun KJ berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Namun begitu KJ tidak boleh berharap saja dengan ubat hospital, KJ mula mencari alternatif rawatan tradisional dan ubatan tradisional disamping berjumpa dengan para ustaz yang boleh membantu.

Untuk menjaga KJ di rumah bukan mudah dan senang , semua perlu dititik beratkan dari segi kebersihan dan pemakanan. Seorang penghidap kanser perlu persekitaran  yang bersih dari semua aspek nampak mudah tetapi sebenarnya susah untuk dilaksanakan. Hanya orang yang menguruskan KJ saja yang tahu susah payahnya semua itu. KJ sangat bersyukur dikurniakan isteri yang cukup bertanggung jawab untuk sama-sama mengharungi kehidupan ini. Begitu juga anak-anak yang memahami keadaan ayahnya.

Menu makanan KJ berubah sama sekali. KJ perlu berpantang  sama seperti orang bersalin. Sayuran sejuk dan jenis ikan berduri contohnya ikan keli, ikan pari, ikan patin perlu dielakan dari memakannya. Kadang kala KJ makan juga sebab teringin sangat akibatnya terasa bisa  dan sakit-sakit satu badan.

Pada bulan Ogos 2010, KJ kembali ke sekolah SKBTK semula dengan bantuan rakan karib yang datang menjemput di rumah dan hantar pulang ke rumah. Jasa kalian tidak kan KJ lupakan. KJ ditempatkan di Bilik Kesihatan sekolah. Hati KJ cukup gembira bila berjumpa rakan mengajar tapi KJ dah tak mengajar lagi hanya menghadirkan diri ke sekolah je....

Kalau KJ nak cerita tentu takkan habis, ......KJ nak ucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mengenali KJ , doa dan kata-kata perangsang serta kerjasama yang diberikan  menjadi pemangkin untuk meneruskan kehidupan ini selagi nyawa dikandung badan.

Inilah raut muka KJ pada hari ini.....

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

'JOM BACA LAGI ENTRI INI' Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...